Monday, July 2, 2012

Ubat Bertukar Racun


DEWASA ini penggunaan ubat-ubatan tradisional dan komplementari (TCM) semakin mendapat kepercayaan berikutan kerancakan aktiviti penyelidikan dan kecanggihan teknologi yang digunakan pengeluar.

Ubat itu termasuk ubat tradisional Melayu dan Cina, selain rawatan ayurveda, homeopati dan akupuntur.

Bagaimanapun, bukan semua produk yang dikatakan ubat itu boleh menyembuhkan penyakit. Malah, banyak kes berkaitan ubat tradisional dan alternatif sebelum ini didapati mendatangkan mudarat.

Berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan Malaysia, sebanyak 11,885 produk TCM telah didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) setakat ini.

Namun, pada tahun lepas, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan (BPFK) menerima 127 laporan kesan mudarat akibat penggunaan produk tradisional termasuk yang didaftarkan dengan PBKD.

Ujian

BPFK mengesan pelbagai produk tradisional yang dicemari dengan bahan terkawal atau racun berjadual seperti steroid, sibutramine (ubat langsing) dan sildenafil (ubat kuat lelaki).

Bahan-bahan terkawal itu berfungsi untuk menahan kesakitan selain bertindak melangsingkan badan seseorang. Ia juga didakwa mampu menambah kekuatan tenaga batin lelaki dan wanita.

Mengulas isu ini, Pengarah Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Razak Lajis memberitahu, kebanyakan ubat tradisional dan alternatif tidak melalui fasa ujian klinikal bagi mengenal pasti produk tersebut selamat digunakan.

“Produk yang telah didaftarkan ini hanya melalui ujian keselamatan penting di BPFK seperti saringan steroid, logam berat dan bahan terlarang berdasarkan dakwaan khasiat oleh pengeluar atau pengedar.

“Dakwaan yang dinyatakan oleh pengeluar mungkin terhad kepada kajian ke atas haiwan, testimoni pengguna dan rujukan secara turun-temurun,” katanya.

Namun begitu, Razak menjelaskan tidak semua produk tradisional memberi kesan sampingan kepada pengguna.

“Sama seperti ubat-ubatan moden, ada yang memberi kesan sampingan dan ada yang tidak.

“Apa yang penting pengguna yang mengambil ubat ini perlu merujuk pakar perubatan terlebih dahulu,” katanya.

Beliau juga mengingatkan penghidap penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis bahawa rawatan moden dan tradisional hanya berfungsi untuk mengawal penyakit tersebut dan bukan memulihkannya.


JANGAN berhenti mengambil ubat-ubatan moden walaupun serasi dengan ubat-ubatan tradisional. - Gambar hiasan

Pakar

Katanya lagi, pesakit tidak harus berhenti daripada mengambil ubat-ubatan moden walaupun mereka sedang mencuba rawatan alternatif.

“Ini kerana ubat-ubatan tersebut dapat membantu mengelakkan penyakit tersebut daripada melarat.

“Ubat moden mesti diambil walaupun ubat tradisional terbabit mula menunjukkan kesan positif,” katanya.

Ujarnya lagi, ini bagi menggelakkan sebarang interaksi bahaya antara ubat-ubatan.

“Ubat tradisional berfungsi pada bahagian tertentu dalam badan sama seperti ubatan moden.

“Jika saling berinteraksi, ia mungkin mendatangkan bahaya pada individu itu selain mendedahkan pengguna kepada penyakit seperti kerosakan buah pinggang,” katanya.

Razak menambah, status kesihatan dan penyakit sedia ada adalah faktor yang mempengaruhi keberkesanan ubat tradisional.

“Sentiasa rujuk pada label dan kandungan ubat tersebut. Jika ragu-ragu, beli ubat tersebut di farmasi berdaftar,” katanya.

Seorang pakar farmasi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Aida Azlina Ali, berkata bukan semua orang perlu mengambil ubat-ubatan tradisional.

“Jika seseorang telah mengamalkan diet yang sempurna dan berkhasiat, tubuh mereka tidak memerlukan ubat tersebut.

“Ini kerana pengambilan ubat tradisional tanpa mengikut keperluan boleh bertukar menjadi toksik yang membahayakan tubuh,” katanya.

Beliau turut menasihatkan mereka yang ingin mengambil produk TCM supaya bertanya kepada pakar perubatan sebelum menggunakannya.

“Mungkin ubat itu berkesan untuk jangka masa pendek sahaja. Teliti dahulu kandungannya serta rujuklah pakar.

“Selain itu, jangan sekali-kali meninggalkan ubat moden kerana kebanyakan ubat sebegini telah menjalani pelbagai ujian klinikal sebelum diluluskan,” katanya.

Saturday, June 23, 2012

MyKamus Canggih


SEJAJAR dengan keperluan semasa terhadap kepentingan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, Mykamus Dewan Pro v7 versi komputer dihasilkan untuk mendaulatkan bahasa Melayu selain meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris di kalangan pelajar dan rakyat Malaysia amnya.

Pemahaman secara lebih komprehensif menerusi Mykamus bagi sesiapa saja yang masih mencari-cari kaedah terjemahan yang pantas dan efisien.
Pengguna hanya perlu memuat turun perisian Mykamus Dewan Pro menggunakan komputer peribadi dan ikut arahan di dalamnya.
Sesungguhnya, Mykamus Dewan Pro adalah perisian yang mesra dan terbaik dalam membantu pengguna bagi mengatasi kekangan dan halangan untuk memartabatkan bahasa Melayu dan menguasai bahasa Inggeris.

Mykamus Dewan Pro dibangunkan oleh syarikat tempatan, Ekancil Consultant and Computing Sdn Bhd dengan dibantu kepakaran tekonologi maklumat (ICT).

Ciri-ciri dan kelebihan Mykamus Dewan Pro v7:

Terjemahan pantas - Ctrl+right click perkataan pada skrin komputer, terjemahan pop-up akan dipaparkan pada skrin tanpa perlu menaip untuk mendapatkan terjemahan. Terjemahan dalam dwibahasa Inggeris dan Melayu serta fungsi bersuara di mana anda boleh mendengar sebutan dengan menekan ikon pembesar suara.
Terjemahan ayat yang menterjemah keseluruhan perenggan ayat pelbagai bahasa dengan menghantar carian terus ke laman online dengan hanya satu klik.

Koleksi soalan peperiksaan - pelajar boleh menggunakannya untuk membuat rujukan ulangkaji persediaan menduduki peperiksaan dengan kelancaran yang menyeluruh tambahan dengan adanya bantuan fungsi klik dan terjemah mempercepatkan kefahaman.

E-Buku adalah koleksi bahan bacaan buku bahasa Inggeris yang mempunyai fungsi suara untuk membacakan keseluruhan peranggan ayat.

Bina kamus sendiri membolehkan pengguna menyimpan glosari sendiri ke dalam sistem Mykamus untuk diguna semula dalam carian pantas Alt+right click. Di sini terdapat juga 25 kamus pelbagai bahasa termasuk bahasa Cina, Tamil dan Arab.

Web long click - satu lagi cara mudah untuk mendapat terjemahan ialah dengan menghalakan kursor kepada perkataan pada skrin dan klik selama 1 saat dan hasil carian akan terpapar pada skrin. Anda juga boleh memilih hasil carian sama ada dari kamus DBP, Mykamus, Wikipedia atau DBP online dengan hanya satu klik.

Penyemak ejaan bahasa Melayu MS Office dan Open Office - paparan Microsoft word terdapat butang Add-Ins untuk melihat butang semak eja bahaas Melayu. Jika semak eja aktif semua ejaan yang tersalah eja akan terpapar dengan garisan merah di bawahnya menandakan salah ejaan. Klik sebelah kanan pada perkataan yang salah untuk melihat cadangan perkataan untuk memperbetulkannya.

Paparan Open Office Writer terdapat butang semak eja untuk anda gunakan bagi mengaktifkan semak ejaan bahasa Melayu. Kaedah penandaan salah eja sama dengan kehadiran ombak merah di bawah perkataan terbabit.

Gebung terjemahan bahasa - terjemahan mudah kepada bahasa Inggeris dan Melayu secara offline. Terdapat juga terjemahan dokumen dan terjemahan ayat. Pada menu ini juga terdapat terjemahan ayat dengan menghalakan kursor ke salah satu perkataan dan tekan shift+right click atau highlight beberapa perenggan dan tekan Ctrl+shift+T untuk terjemahan keseluruhannya.

Uji minda - dengan melengkapkan permainan perbendaharaan kata dengan mengisi huruf yang bersesuaian untuk menjadi satu perkataan dalam tempoh jangka percubaan yang diberikan. Jika ada cekap dapat melengkapkan huruf sebelum paparan mati tergantung, anda diiktiraf menang dan jika sebaliknya gagal mengatur huruf sampai ke penghujung tali gantung anda dikira gagal.

Tulisan Jawi - paparan mudah belajar tulisan Jwi dari tulisan rumi. Anda cuma perlu menaip dalam rumi, sistem akan memaparkan serentak ke tulisan Jawi.

Satu lagi penghasilan produk Mykamus ialah Mykamus Telefon Bimbit. Pertama di Malaysia di mana data kamus boleh dimuatkan ke dalam telefon bimbit yang pelbagai jenis dan pencarian makna didapati dalam telefon bimbit individu yang sudah memasangnya.

Ia amat diminati kerana kamus mudah tersedia di dalam poket masing-masing. Pemindahan data kamsu boleh dilakukan melalui teknologi Bluetooth.

sumber:www.bharian.com.my